Thursday, May 2, 2013

Kerajaan Hindu Purwa: Negara Champa

 

Negara Champa atau Jeumpa merupakan sebuah kerajaan kehinduan yang mengawal bahagian tengah Vietnam hari ini dari kira-kira abad ke-7 M sampai ke tahun 1832.

Orang Chempa merupakan pewaris kerajaan ini. Mereka bertutur bahasa Cham, iaitu sejenis bahasa dari rumpunan bahasa Melayu Pelbagai Kepulauan. Sebelum itu, Champa dikenali sebagai kerajan Lin Yi yang wujud sejak tahun 192 M. Namun hubungan antara Lin Yi dan kerajaan Hindu Champa masih belum jelas lagi. Kerajaan ini mencapai kemuncaknya dalam kurun ke-9 dan ke-10 M. Namun lepas itu, ia mula mengalami kejatuhan selepas ditekan negara Dai Viet yang berpusat di Hanoi masa kini. Pada 1832, maharaja Vietnam, maharaja Ming Mang menakluki kawasan negara Hindu Cham yang masih berbaki. Pusat keagamaan Hindu negara Champa ini terletak di wilayah My Son dan Hoi An.

Kedudukan Negara Champa

Antara abad ke-7 dan abad ke-15 M, wilayah-wilayah Champa berada dalam Vietnam moden di wilayah Quang Nam, Quang Ngai, Binh Dinh, Phu Yen, Khanh Hoa, Ninh Thuan dan Binh Thuan. Walaupun wilayah negara Champa termasuk dalam kawasan pergunungan sebelah barat pantainya dan pada ketikanya pula terentang sampai ke Laos moden, kebanyakan penduduk negara ini merupakan orang laut yang terlibat dalam perdagangan dan mengekalkan penempatan di lautan.

Inderapura

Kota Betara Indera, merupakan ibukota negara Champa dari 875 SM sehingga 1000 M. Ia kini terletak dalam tapak kampung Dong Duong dekat dengan bandar Da Nang. Di rantau Da Nang itu, letaknya kota Champa purwa iaitu Singapura. Kedudukannya kini dikenalpasti dengan carigali purwa di kampung Tra Kieu dan lembah My Son. Di kawasan itu, terdapat beberapa puing runtuhan kuil dan gopuram yang terselamat. Pelabuhan yang berkaitan dengannya terletak di Hoi An. Pelabuhan itu pernah dikawal oleh kota ini yang merangkumi kawasan wilayah Quang Binh, Quang Tri dan Thua Thien Hue. 

Amarawati

Kota ini letaknya dalam wilayah Quang Nam.

Wijaya

Letaknya kota ini di wilayah Binh Dinh. Kota ini dikenalpasti dengan pencarigalian di Cha Ban. Pelabuhan kota ini di Qui Nhon. Carigali sejarah pentingnya dijalankan di Thap Mam, yang merupakan pusat kebudayaan dan keagamaan negara ini. Wijaya menjadi pusat budaya dan pemerintahan sekitar 1000 M apabila Inderapura ditinggalkan disebabkan oleh serangan negara Dai Viet dari utara. Ia menjadi pusat negara Champa sampai tahun 1471, sebelum diserang sekali lagi oleh orang Vietnam. Ibukota terpaksa dipindahkan lagi ke selatan. Wijaya mengawal kawasan di wilayah moden seperti di Quang Nam, Quang Ngai, Binh Dinh dan Phu Yen.

Kauthara

Ia terletak di kawasan moden Nha Trang di wilayah Khanh Hoa. Pusat agama dan budayanya di Kuil Po Nagar, dengan beberapa gopuram atau menara koilnya itu masih tegak di Nha Trang.

Panduranga

Letaknya di kawasan Phanrang di wilayah Ninh Thuan. Panduranga merupakan wilayah terakhir kerajaan Champa yang ditakluki orang Vietnam.

Keempat-empat wilayah negara Cham ini diperintah oleh dua puak utama iaitu puak "Dua" dan puak "Cau". Puak Dua berdiam di Amarawati dan Wijaya sedangkan puak Cau berdiam di Panduranga dan Kauthara. Istiadat kedua-dua puak ini berbeda dan tabiat serta kepentingan yang tidak sama sering menyebabkan pertempuran sehingga kadang-kadang membawa kepada peperangan dalam negara. Masalah ketidaksetujuan selalunya akan cuba diselesaikan menerusi perkahwinan.

Pensejarahan

Sumber-Sumber

Pensejarahan negara purwa ini bergantung kepada tiga jenis bahan iaitu:
  • Tinggalan barangan purwa seperti struktur batu-bata dan runtuhan serta arca pahatan batu.
  • Prasasti dalam bahasa Cham dan bahasa Sanskerta serta permukaan batu lain.
  • Rekod sejarah Cina dan Vietnam misalnya seperti sastera catitan, laporan diplomatik dan teks lain.
Teori Penunjuk

Kesarjanaan moden diberi petunjuk oleh dua teori berlainan dalam pensejarahan Champa. Sarjana setuju bahawa pada sejarahnya, Champa ini terbahagi kepada beberapa rantau yang diperintah oleh beberapa orang putera raja dari selatan ke utara sepanjang pantai Vietnam moden dan disatukan oleh bahasa yang sama, kebudayaan dan warisan yang sama.

Diketahui juga rekod sejarah tak sama pula untuk kesemua rantau tersebut. Contohnya, pada abad ke-10 M, rekod yang banyak sekali ditemui adalah mengenai Inderapura. Pada abad ke-12 M pula, yang banyak sekali ditemui adalah mengenai Wijaya. Berikutnya, abad ke-15 menceterakan banyak tentang Panduranga. Setengah sarjana membuat anjakan bahawa keadaan ini menunjukkan ibukota negara ini sering berpindah randah. Mereka berpendapat, pada abad ke-10 banyak rekod tentang Inderapura itu sebab ia menjadi ibukota Champa ketika itu. 

Setengah yang lain berpendapat, Champa bukan sebuah negara bersatu. Mereka berhujah bahawa kewujudan rekod sejarah terbanyak menurut abad itu tak berasas langsung untuk mendakwa bahawa rantau tersebut berfungsi sebagai ibukota bagi negara Champa yang bersatu ketika itu.  

Punca Pengaruh Budaya Asing

Beberapa abad lamanya, kebudayaan orang Cham dan masyarakatnya dipengaruhi oleh kuasa yang terbit dari Kemboja, China, Jawa dan benua India. Lin Yi yang mendahului Champa, mulanya sejak 192 M memberontak dari jajahan empayar China. Pemberontakan itu diketuai oleh seorang pegawai yang bersewakah dalam pemerintahan empayar China yang bertempat di Vietnam tengah. Pemberontakan berjaya dan Lin Yi ditubuhkan pada 192 M. 

Pada abad ke-4 M, Lin Yi berperang dengan kerajaan Funan yang berjiran dengannya. Kemasukan beberapa wilayah orang Funan ke dalam Lin Yi menyebabkan pengaliran masuk budaya Hindu ke dalam masyarakat Champa. Bahasa Sanskerta pun digunapakai sebagai bahasa sarjana dan agama Hindu utamanya aliran Saiwa menjadi agama perlindungan kerajaan. 

Dari abad ke-10 M, perdagangan kelautan dengan pedagang Arab membawa pula kebudayaan Arab dan Islam ke negara Champa. Negara Champa menjadi salah satu titik dalam Perjalanan Rempah yang terentang dari Teluk Parsi sampai lah ke selatan China. Pedagang Arab juga belayar ke Indochina untuk mendapatkan kayu gaharu buat wangian majlis dan upacara sembahyang mereka.

Walaupun terdapat peperangan yang kerap antara Champa dengan Kemboja, kedua-dua negara purwa ini pun berdagang dan saling berhubungan kebudayaan sesamanya. Keluarga diraja kedua-dua negara purwa sering berkahwin campur dan besemenda sesama mereka. Negara Champa juga berhubungan rapat dalam kebudayaan dan perdagangan dengan empayar Seriwijaya dan kemudiannya juga dengan negara Hindu Majapahit.

Bukti linguistik yang dikumpulkan menerusi pengkajian sekitar wilayah Aceh di Indonesia juga menunjukkan pengaruh budaya Champa yang kuat. Hal ini ditunjukkan dalam bahasa Aceh-Cham sebagai bahasa utama di pantai-pantai seperti di Aceh Besar, Pidie, Bireun, Aceh Utara, Lhoksemawe, Aceh Timur, Aceh Barat, Aceh Barat Daya dan Aceh Jaya.

No comments:

Post a Comment